Tumpuan :
Nasional

Kastam catat pungutan hasil RM65.57 bilion pada 2024

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin ketika sidang media prestasi kutipan hasil dan kes penguatkuasaan sepanjang tahun 2024 di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion bagi tahun 2024, melepasi unjuran yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF).

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, menyatakan pencapaian ini melampaui dua unjuran awal MOF iaitu RM56 bilion dan RM61.17 bilion.

“JKDM berjaya mencatatkan prestasi cemerlang dengan kutipan hasil sehingga 31 Disember 2024 sebanyak RM65.57 bilion, bersamaan 117.08 peratus daripada unjuran awal RM56 bilion,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kastam.

Beliau menambah, kutipan tahun 2024 meningkat sebanyak 18.85 peratus berbanding RM55.17 bilion pada tahun 2023.

“Peningkatan ini menyumbang tambahan hasil sebanyak RM10.40 bilion, mencerminkan kenaikan ketara sebanyak 18.85 peratus. Ini adalah kutipan hasil tertinggi pasca pandemik, menunjukkan usaha berterusan JKDM dalam memperkukuh kutipan hasil negara,” katanya.

Selain pencapaian hasil, JKDM berjaya mematahkan 7,215 kes cubaan menyeludup dan menyeleweng duti serta cukai kastam sepanjang tahun lalu.

Rokok mencatatkan nilai cukai rampasan tertinggi pada 2024 dengan jumlah RM399.52 juta, diikuti kenderaan (RM134.80 juta), minuman keras (RM98.80 juta), mercun dan bunga api (RM1.93 juta), serta komoditi lain (RM98.50 juta).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini