Tumpuan :
Nasional

Kastam azam kekal kecemerlangan dalam mendepani cabaran global

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerima buku prestasi Kastam 2024 daripada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin ketika Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia di Putrajaya. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berazam mengekalkan kecemerlangan bagi memastikan perkhidmatan yang berprestasi tinggi, berpaksikan kecekapan, ketangkasan dan integriti dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

JKDM dalam kenyataan berkata, ia selaras dengan prinsip Malaysia MADANI dan aspirasi ‘Striving for Excellence’ yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kutipan hasil tahun lalu, mencatat jumlah tertinggi pasca pandemik sebanyak RM65.57 bilion.

“Jumlah ini mencapai 117.08 peratus daripada unjuran awal tahun yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (RM56 bilion).

“Pencapaian itu juga menunjukkan peningkatan kutipan hasil sebanyak RM10.40 bilion atau 18.85 peratus berbanding tahun 2023 selain mematahkan sebanyak 7,215 kes penyeludupan tahun lalu.

“Ia membabitkan nilai rampasan dan anggaran cukai mencecah RM1.644 bilion sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 85.92 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

JKDM berkata ia akan terus memperkukuh peranannya dalam penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan ketirisan hasil negara.

Dalam kenyataan sama, JKDM berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya semalam yang bertemakan Kastam Melaksanakan Komitmen ke Arah Kecekapan, Keselamatan dan Kemakmuran.

Katanya, tema itu menjadi hala tuju pentadbiran kastam sedunia melaksanakan tindakan nyata memacu fasilitasi perdagangan, memastikan keselamatan rantaian bekalan dan memperkukuh pembangunan ekonomi yang mampan.

Pada majlis itu, JKDM turut menyampaikan anugerah seperti WCO Certificate of Merit, Anugerah Syarikat Berprestasi Tinggi, Anugerah Negeri Berprestasi Tinggi, Anugerah Syarikat Authorized Economic Operator (AEO) serta Anugerah Wira dan Wirawati Kastam sebagai pengiktirafan kepada individu serta organisasi yang mencapai prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Selain itu, JKDM turut menganugerahkan sijil penghargaan kepada Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Malaysia sebagai penghormatan atas sokongan dan sumbangan dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Penghargaan sama turut diberikan kepada General Directorate of Narcotics Control, Ministry of Interior, Kingdom of Saudi Arabia atas kerjasama erat dalam perkongsian maklumat risikan yang berjaya membawa kepada pemintasan penyeludupan dadah ke Malaysia sekali gus memperkukuh usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini