comscore
Tumpuan :
Nasional

Kasih si kakak, sanggup masuk penjara untuk bertemu adik

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: “Saya memang sengaja ambil dadah supaya dimasukkan ke dalam penjara untuk bertemu adik bongsu.

“Mungkin ia tindakan tidak masuk akal namun itu cara saya menebus rasa bersalah kepada adik perempuan kesayangan kerana sedar sering mengabaikannya selama ini ekoran kesibukan dengan tugas selama kira-kira 15 tahun sebagai anggota tentera di Semenanjung.

“Biarlah orang di luar sana mahu kata saya bodoh tetapi secara peribadi tindakan itu berbaloi disebabkan dapat melihat sendiri keadaan adik yangberada di dalam penjara,” kata salah seorang banduan wanita yang dikenali sebagai Angah, 40.

Anak kedua daripada empat beradik itu menyatakan dirinya mula dijatuhkan hukuman penjara sejak Disember tahun lalu atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya manakala adiknya kini sedang dalam reman di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

Angah berkata, dia mahu adik bongsunya itu melihat pengorbanan seorang kakak sekaligus menunjukkan masih ada ahli keluarga yang menyayangi dirinya.

Terpilih sebagai salah seorang banduan mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) “Ihsan Madani” Kepulangan Yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Angah bersyukur peluang tiga bulan berada di dalam penjara banyak mematangkan diri dan mampu memberi teladan terbaik buat adik dan banduan wanita lain.

Sementara itu, seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Din, 40, tidak dapat menahan rasa sebak apabila dibebaskan menerusi program PBSL.

Malahan bapa kepada dua cahaya mata perempuan berusia 13 dan 16 tahun itu berkongsi keterujaan apabila isteri dan anak-anaknya sudah membelikan baju raya untuk menyambut Aidilfitri bersama yang dijangka bakal di sambut umat Islam pada minggu hadapan.

“Tiga bulan di penjara adalah pengajaran terbesar dalam hidup dan sekiranya masa boleh diputar semula, saya mahu memperbetulkan segala kesilapan diri di masa lalu.

“Selepas ini saya hendak menjadi seorang suami yang baik buat isteri dan teladan kepada anak-anak,” katanya yang ditahan ketika operasi pada November tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah, Nora Musa berkata, seramai142 Orang Bebas Berlesen (OBB) terlibat dalam PBSL di semua penjara seluruh Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Menerusi jumlah itu, 61 OBB adalah dari Penjara Pusat Kota Kinabalu, 19 OBB (Penjara Sandakan), 41 OBB (Penjara Tawau), 10 OBB (Penjara Lahad Datu), empat OBB (Penjara Wanita Kota Kinabalu), empat OBB (Pusat Koreksional Labuan) dan tiga OBB dari Sekolah Henry Gurney Keningau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini