Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan yang dihiasi tanglung merah dan jamuan istimewa bagi insan yang bernama Michael Tong, atau lebih mesra disapa Uncle Mike.
Menurutnya, sambutan itu adalah peluang pembuktian kasih sayang tidak mengenal batas agama, bangsa, mahupun budaya.
Disambut bersama tiga anak angkatnya yang berbangsa Melayu, perayaan itu diraikan penuh harmoni, membuktikan ikatan keluarga tidak semestinya terjalin melalui darah, tetapi juga keikhlasan dan kasih sayang sejati.
Kisah mereka bermula lebih 16 tahun lalu, di sebuah rumah anak yatim di Gombak. Ketika itu, Rafie masih kecil, kehilangan ibu bapa, terpisah daripada adik-adiknya, dan terpaksa meniti hidup tanpa belaian keluarga.
Namun, takdir menemukan dia dengan sosok bernama Uncle Mike, seorang lelaki berhati luhur yang sudi menghulurkan tangan menjadi pelindung, lantas membuka harapan baharu hidupnya.
Saat mengetahui Rafie terpisah daripada adiknya, Uncle Mike tidak berdiam diri. Dengan tekad dan kasih yang mendalam, beliau menyatukan mereka semula di bawah satu bumbung, membina keluarga yang utuh atas dasar kasih sayang.
“Saya terjumpa satu coretan Rafie. Dia doa, ‘Ya Allah, kenapa mak ayah dia pergi? Kenapa adik-adiknya tidak bersama dia?’ Hati saya tersentuh dan saya tahu, saya perlu lakukan sesuatu,” luah Uncle Mike, mengenang kembali detik yang mengubah hidupnya.
Setiap kali Tahun Baharu Cina, rumah ibu Uncle Mike, Oh Siew Eng, atau lebih dikenali sebagai ‘Popo’, menjadi tempat pertemuan mereka. Di situlah mereka berkumpul, berkongsi tawa dan kasih, menghidupkan tradisi makan besar, menghias rumah, serta bertukar angpau dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
“Momen yang paling istimewa ialah ketika kami ‘lo sang’ bersama. Kami berborak dalam bahasa Melayu supaya anak-anak faham, dan dalam masa yang sama, ibu serta adik saya juga dapat menyelami kegembiraan ini,” katanya dengan senyuman.
Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, ‘makan besar’ menjadi saat yang paling ditunggu Rafie. Baginya, ia bukan sekadar hidangan yang lazat tetapi kerana maknanya yang lebih mendalam.
“Seronok sebab lain daripada sambutan Aidilfitri. Ada tarian naga, tarian singa dan paling seronok, dapat angpau,” katanya penuh ceria, mencerminkan betapa tradisi itu kini menjadi sebahagian daripada jiwanya.
Bagi Uncle Mike, perjalanan itu bukan sekadar menyatukan kembali adik-beradik yang terpisah, tetapi juga satu proses pembelajaran yang mengajarnya tentang erti pengorbanan dan cinta yang tiada syarat.
“Saya belajar untuk menjadi ayah dan ibu serentak. Bukan mudah, tetapi kasih sayang mengatasi segalanya,” tambahnya.
Atas ketulusan dan keikhlasannya, Uncle Mike diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024, sebuah penghormatan buat seorang insan yang membuktikan bahawa kasih sejati tidak terbatas oleh warna kulit atau kepercayaan, tetapi lahir dari hati yang tulus mencintai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.