RANTAU PANJANG: Demi kasih sayang sejati, seorang wanita memberanikan diri menarik mayat suaminya meredah sejauh kira-kira 100 meter (m) dalam banjir hingga ke rumah di Kampung Bakat, di sini, hari ini.
Norzubaila Ramli, 36, berkata, beliau dimaklumkan seorang penduduk kampung bahawa suaminya, Mohd Kamaruddin Mohamed Yahya, 44, terjatuh dari perahu.
Susulan itu, katanya, beliau bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat Mohd Kamaruddin hampir tenggelam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, beliau terpaksa menarik jasad suami dengan memegang bahagian leher hingga ke rumah kerana tidak berdaya mengangkat mangsa masuk ke dalam perahu.
“Disebabkan bimbang suami dihanyutkan arus deras banjir, saya memberanikan diri menariknya sendirian sambil menaiki perahu yang dikayuh seorang penduduk.
‘Ketika itu, saya dapat merasakan suami sudah meninggal dunia kerana dia langsung tidak memberikan sebarang respons. “Sebaik saja sampai, saya bersama anak-anak mengangkatnya ke dalam rumah sementara jiran meminta bantuan pihak bomba.
‘Saya bersama empat anak beberapa kali memanggil namanya tetapi tidak bersahut.
“Sepatutnya, saya mengikut suami untuk melihat pukat di belakang kawasan rumah yang dinaiki banjir mencecah paras lebih dua meter, namun dia menolak dan mahu pergi sendirian,” katanya
Tambah Norzubaila, mereka sekeluarga sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), semalam, namun sekitar jam 12 tengah hari tadi, suami mengajaknya pulang sebentar untuk melihat rumah sambil mengangkat pukat.
“Kami singgah di rumah dulu untuk meninggalkan anak-anak dan berjanji mahu mengangkat pukat bersama-sama. Bagaimanapun, dia kemudian menyuruh saya memantau anak-anak di rumah saja.
“Malah pada mulanya, salah seorang anak kami sudah berada di dalam perahu tetapi suami menyuruh anak turun kerana tidak mahu ada yang ikut bersama.
“Kami akur dan biarkan saja kerana suami sudah biasa memukat di kawasan itu setiap kali banjir.
“Kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang terjadi tetapi reda dengan ketentuan Ilahi, selain berharap segala proses menguruskan jenazah dapat diselesaikan segera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Beliau berkata, anggota bertugas kemudian membawa mayat mangsa ke Unit Forensik, Hospital Pasir Mas, untuk bedah siasat.