Tumpuan :
Nasional

Kasari pegawai bawahan, polis ambil keterangan pegawai kanan TDM

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

KUCHING: Pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa mengasari pegawai bawahannya sehingga cedera, dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, hari ini bagi diambil keterangan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata ia susulan satu laporan polis dibuat terhadap pegawai kanan terbabit pada jam 1.27 pagi, 4 Mac lalu di Balai Polis Bau.

“Hari ini pegawai kanan terbabit dipanggil ke IPD Lundu untuk diambil percakapan dan kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

Menurut Mancha Ata, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TDM memberi kerjasama yang cukup baik dalam siasatan ini.

Gambar fail pasukan tentera darat ketika sedang bersiap sedia melakukan latihan formasi (tiada kaitan dengan kes). Foto FB Berita Tentera Darat Malaysia.

Semalam, TDM menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman bagi mengenalpasti punca kejadian dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanan di salah satu Briged Infantri Malaysia di Sarawak.

TDM dalam kenyataan memaklumkan ia bagi menilai secara profesional dan terperinci dakwaan kekasaran yang dilakukan pegawai kanan itu.

Menurut kenyataan itu, jika terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang di dakwa, TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan badan itu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam kenyataan sama dilaporkan turut memandang serius dakwaan itu dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah.

Pegawai kanan berkenaan kini dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Pengadu, seorang pegawai TDM dalam laporannya mendakwa dia ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan trauma tumpul (blunt trauma).

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 1 Mac lalu ketika sekumpulan pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini