comscore
Tumpuan :
Nasional

KASA nafi dakwaan Rafizi berkait projek tebatan banjir

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam proses untuk menganugerahkan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 ketika ditadbir oleh kerajaan sementara atau ‘caretaker’ bersifat persepsi.

KASA memaklumkan, kementerian itu menangguhkan segala proses perolehan berkaitan dengan Projek Tebatan Banjir secara ‘Off-Budget’ (2023-2030) sepanjang tempoh kerajaan ‘caretaker’ iaitu selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

“Ini termasuk pengeluaran Surat Niat (Letter Of Intent – LOI), Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima (SST) dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor atau perunding serta kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan selaras dengan Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan Bil.1 Tahun 2022 pada 11 Oktober lalu dan Surat Pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 18 Oktober lalu berkaitan ‘Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker’.

Ia juga selaras Garis Panduan Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Oktober lalu.

“(Garis panduan) antara lain menetapkan, apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji (undertaking) hendaklah dielakkan termasuklah apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menuntut penjelasan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung dakwaan status projek kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Beliau mendakwa, KASA dalam proses untuk menganugerahkan projek secara rundingan terus kepada kontraktor sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Semalam, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan beliau pernah meluluskan projek di bawah KASA sejak Parlimen dibubarkan dan meminta Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti.

Beliau juga akan meminta peguamnya melihat dari aspek undang undang mengenai dakwaan Rafizi itu.

Mengulas lanjut, KASA memaklumkan, kementerian sentiasa cakna dan patuh kepada peraturan yang berkaitan dalam tempoh kerajaan ‘caretaker’.

“Justeru, kenyataan tersebut tidak berbangkit sama sekali dan hanya bersifat persepsi sahaja,” katanya.

Loading...
Terkini