comscore
Tumpuan :
Nasional

Karya seniman muda negara dipamerkan di Korea Selatan

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Karya seniman muda Zulkefli Jais berjudul “Project Temporary Marking” dipamerkan di Asia Culture Center, Gwangju dan Korea Foundation Gallery, Seoul, Korea Selatan sempena Gwangju Biennale 2024 yang berlangsung hingga 1 Disember depan.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan memaklumkan penyertaan Zulkefli dalam acara seni berprestij itu pengiktirafan besar buat negara dalam menonjolkan perkembangan seni kontemporari Malaysia serta pencapaian penting beliau yang meraih penghargaan di peringkat global.

“Project Temporary Marking” yang sebelum ini dipamerkan di Menara Condong, Teluk Intan, Perak, menampilkan gabungan jaket (vest) yang melambangkan Menara Condong sebagai mercu tanda bandar berkenaan.

“Karya ini memaparkan pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar serta turut dikaitkan dengan memori Zulkefli Jais sebagai anak jati Teluk Intan, Perak. Setiap jaket dalam karya ini mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana yang pernah menimpa pelarian di bandar itu serta menjadi peringatan bahawa sejarah mempunyai kecenderungan untuk berulang,”.

Menurut Balai Seni Negara, karya berkenaan dipamerkan bersama tayangan dokumentari pendek berdurasi enam minit dua saat yang ditayangkan secara berulang sepanjang pameran berlangsung.

Dokumentari itu mendedahkan sejarah sekitar Menara Condong dengan bunyi loceng yang berbunyi setiap jam mengikut Waktu Malaysia (MYT) untuk memberikan gambaran serta penghayatan lebih mendalam terhadap karya berkenaan.

Balai Seni Negara juga memaklumkan Pavilion Malaysia yang mempamerkan hasil karya Zulkefli telah menerima kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Korea Datuk Mohd Zamruni Khalid, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad dan Presiden Asia Culture Center (ACC) Lee Kanghyun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini