KUALA LUMPUR: Dua karya seni dihasilkan daripada pelajar universiti tempatan untuk HONOR Talents dipamerkan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat awal bulan ini.
Pelajar Universiti Teknologi MARA, Zyed Hamidi Zainal Abidin serta pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, Hoh Sheng Yue dan Sheanne Chin Seng Wei antara 28 pengkarya HONOR Talents terpilih dari pelbagai negara untuk menyertai pameran berkenaan.
Pameran yang bertemakan ‘Dragons Soaring Across Four Seas, Welcoming the Lunar New Year Together’ menghimpunkan karya seni naga masyarakat Cina yang mengetengahkan budaya, warisan, mercu tanda dan mitos setiap negara peserta.
Program yang dianjurkan HONOR bersama Kelab Buku Cina PBB, Global Times dan Central Academy of Fine Arts dengan sokongan Misi Tetap Republik Rakyat China kepada PBB, ini adalah usaha kerjasama yang bertujuan memupuk pemahaman global tentang China melalui pelbagai perspektif pengkarya berbakat.
Sheng Yue berkata, pameran terbaik ini adalah untuk memperkenalkan hidangan istimewa, ‘prosperity toss’ yang berasal daripada Seremban kepada dunia.
“Semakin tinggi Yee Sang diangkat, semakin banyak kekayaan dan tuah akan datang, di mana dalam karya seni kami, naga melempar bahan Yee Sang setinggi Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda popular di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pada 2022, Sheng Yue, Sheanne, dan Yeoh Hui Qi telah memenangi tempat pertama dalam kategori Open Designs, Anugerah HONOR Talents Global Design 2022.
Sementara itu, karya seni Zyed Hamidi, berjudul ‘Soaring in The Sky Together: A Memorial of Understanding and Friendship’ itu adalah sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China.
Acara ini memperjuangkan pemerkasaan belia dan mencungkil bakat muda di pelbagai bidang melalui pertandingan, selain menyediakan pentas bagi golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka.
Pertandingan HONOR Global Design 2023 di bawah HONOR Talents mencatat rekod apabila menerima lebih 12,000 penyertaan di mana sejak penganjurannya, pertandingan ini telah menerima lebih 25,000 karya seni dari 40 negara dan rantau serta 240 universiti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.