Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Karya Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan juara pertandingan Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Puisidra 2024 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.
KHUPAS terdiri daripada pelajar jurusan Komunikasi, Najmi Adli Mustafa,25; Matematik dan Kewangan,Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi,20; Fiqh dan fatwa, Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman,20; dan Bahasa Arab dan Komunikasi,Muhammad Zamratur Rahman Yussri, 21
Menerusi karya berjudul Pelayaran Madani, KHUPAS membawa khalayak untuk mengamati nilai MADANI yang dijadikan sebagai elemen penting membentuk peribadi dan pekerti mulia.
“Kami antara golongan muda yang minat dalam bidang sastera dan puisi, justeru ini merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat anak muda khususnya dalam bidang puisi dan dipelbagaikan dalam bentuk platform.
“Misalnya pada acara kali ini menggabungkan puisi dan drama, mungkin pada masa akan datang ia dapat divariasikan dengan puisi dan nyanyian, jadi sebagai anak muda saya berasa bangga apabila terlibat dan melihat rakan lain turut bersama memartabatkan seni sastera dalam negara,” katanya kepada BuletinTV3.
Naib Johan dan tempat ketiga dirangkul penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Aiman Afiq Ismail membawa pulang RM2,000 dan Elvienie Petrus membawa pulang RM1,000.
Berlangsung di Balai Seni Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, acara ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan, Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Kumpulan Media Prima dan Pengarang Kumpulan, New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Eksekutif (Berita dan Digital) BH, Zainudin Mohd Isa.
Manakala DBP diwakili oleh Pengarahnya, Dr. Hazami Jahari dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.
Bertemakan ‘Malaysia Madani’, acara itu bertujuan mendorong bukan hanya kelangsungan seni dan budaya, tetapi juga menyampaikan pesan semangat patriotisme, aspirasi, dan penghargaan terhadap tanah air.
Ia turut bertujuan meningkatkan keterampilan berbahasa dan mendorong pemikiran golongan muda dalam mencapai keunggulan pendidikan.
Terdahulu, peringkat separuh akhir telah diadakan pada sebelah pagi yang mempertaruhkan lapan peserta daripada pelbagai universiti termasuk UPSI, USIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh.
Diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun ini, pertandingan puisidra itu membabitkan pelajar universiti rentas latar belakang dan kaum, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.