Tumpuan :
Nasional

Kartel warga asing caj RM7,500 seorang untuk RTK 2.0 

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kartel warga asing dikesan menjadikan isteri warga tempatan sebagai proksi bagi memanipulasi kemudahan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan menipu rakan senegara sendiri.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket berkenaan mengenakan caj mencecah RM7,500 bagi setiap RTK didaftarkan.

Beliau berkata, program RTK 2.0 yang sepatutnya percuma itu diputar belit oleh sindiket terbabit dengan mendaftarkan nama buruh asing yang terdesak sebagai pekerja di syarikat proksi dimiliki warga tempatan.

“Kartel warga asing ini mengambil kesempatan daripada program RTK 2.0 yang juga inisiatif baik oleh kerajaan untuk membolehkan warga asing (tanpa permit kerja) dalam negara mendapatkan permit kerja (dengan syarat tertentu).

“Bagaimanapun, pekerja asing terbabit diperdaya oleh rakan mereka sendiri apabila terdesak mendapatkan permit kerja yang sudah tamat tempoh atau berada lebih masa di Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Turut hadir, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan.

Datuk Hishamuddin berkata, pihaknya menerima aduan daripada warga asing yang terpedaya dan mendedahkan mereka diugut sindiket terbabit supaya tidak membuat laporan polis.

Beliau berkata, kartel terbabit mendaftarkan sebanyak mungkin buruh asing tanpa permit menerusi program RTK2.0 di bawah syarikat proksi milik mereka.

Katanya, buruh asing itu kemudian akan dibekalkan semula kepada kontraktor atau majikan tempatan yang memerlukan pekerja asing.

“Kumpulan kartel ini sebenarnya membuat duit dengan perniagaan sumber manusia yang mereka ada itu.

“Ada antara mereka membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia sebelum program RTK 2.0 bermula. Kemudian mereka mengambil kesempatan mendaftarkan PATI terbabit di bawah program kerajaan itu bagi mendapatkan keuntungan,” katanya.

Tambahnya, pekerja asing yang berdaftar di bawah kartel terbabit akan dilapor kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk disenarai hitamkan jika mereka cuba mendapatkan RTK menerusi syarikat lain.

“Ia membuatkan mangsa takut membuat aduan kerana khuatir akan dihantar pulang selepas disenarai hitam oleh pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini