Tumpuan :
Nasional

Kartel tipuan bida: 8 syarikat dikenakan penalti kewangan lebih RM92 juta – MyCC

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti kewangan terhadap lapan syarikat kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi tiga projek bidaan kerajaan pada 2019.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail, kesemua syarikat itu didenda lebih RM92 juta ringgit selepas keputusan pelanggaran dikeluarkan suruhanjaya itu semalam.

“MyCC telah mengeluarkan Keputusan Pelanggaran terhadap lapan perusahaan semalam iaitu 27 Februari 2025 kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan terlibat kartel tipuan bida yang melibatkan dua tender yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat MyCC di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Ia melibatkan projek Central Spine Road (CSR); Pakej 3 Gua Musang Kelantan ke Kg Relong, Kuala Lipis Pahang, Seksyen 3B dan 3C KM 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang serta Pakej 3 Gua Musang Kelantan ke Kg Relong, Kuala Lipis Pahang Seksyen 3J Kanpung Seberang Jelai ke Kg Relong.

Manakala satu lagi projek melibatkan tender Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh, Selangor dibawah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan kesemua tender terbabit dianggarkan bernilai RM474 juta pada 2019.

Tambahnya, melalui penyiasatan yang dijalankan, MyCC mendapati bahawa modus operandi kumpulan kartel terbabit didalangi oleh sebuah syarikat yang dijadikan secara operasi berpusat.

“Malah semasa serbuan dilakukan MyCC, hampir semua bukti utama ditemui di Pintas Utama.

“Penyiasatan mendapati bahawa pencaturan untuk membida tender dilakukan secara perkongsian maklumat melalui emel, mesyuarat dan penyediaan dokumen tender secara fizikal di premis Pintas Utama.

“Modus operandi ini digunakan kumpulan kartel tersebut yang melibatkan ketiga-tiga projek,” ujarnya lagi.

Justeru, mengikut Akta 712, lapan syarikat itu telah dikenakan penalti diantara RM113 ribu hingga RM21 juta atas kesalahan yang dilakukan.

“Akta 712 membenarkan MyCC untuk mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10 peratus pusing ganti seluruh dunia perusahaan yang terlibat.

“Berdasarkan pengiraan yang dibuat oleh MyCC mengambil kira faktor pemberatan dan mitifasi, perusahaan terlibat dikenakan penati kewangan sebanyak lebih RM92 juta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini