KUANTAN: Tindakan lima syarikat pengeluar makanan ayam yang berpakat menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka untuk pasaran tempatan disifatkan sebagai pengkhianat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata ia adalah kesalahan paling besar dilakukan lima syarikat terbabit sehingga menyukarkan kerajaan untuk mengawal harga ayam di pasaran.
“Apabila berlaku kartel atau pakatan untuk mengawal harga makanan ayam, maka harga ayam itu susah untuk dikawal.
“Bagi saya, ini pengkhianatan kepada negara peringkat paling tinggi dari segi undang-undang.
“Lima syarikat terbabit menguasai 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini,” katanya.
Fuziah berkata demikian pada sidang media selepas meninjau harga barang keperluan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Semalam lima syarikat terbabit dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.
Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).
Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan di seluruh negara itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.
MyCC dalam keputusannya berkata mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.