PARIT: Seramai 3,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Sukan Bendang di Kampung Senin, dalam Mukim Layang-Layang, di sini, satu usaha mengembalikan nostalgia suasana desa yang meriah dengan sukan rakyat meraikan berakhirnya musim menuai.
Penyelaras program, Mohd Mochtar Mustaffa berkata, pengunjung terdiri daripada penduduk sekitar daerah Perak Tengah berpeluang menyertai enam aktiviti sukan melibatkan kawasan sawah serta tali air sepanjang dua hari bermula semalam.
“Seramai 700 peserta keseluruhan mengambil bahagian dalam aktiviti menggagau ikan dan itik, perlawanan bola sepak dan bola jaring dalam sawah, meniti basikal, pukul bantal serta tarik tali.
Seramai 3,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Sukan Bendang di Kampung Senin, dalam Mukim Layang-Layang, di sini, satu usaha mengembalikan nostalgia suasana desa yang meriah dengan sukan rakyat meraikan berakhirnya musim menuai. pic.twitter.com/w4cVv0V9w7
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 22, 2024
“Kita berasa gembira dapat mengembalikan semula penganjuran program ini selepas kali terakhir program dilaksanakan adalah pada 2017 lalu sempena Pemukiman Menteri Besar.
“Program ini boleh mempromosikan pelancongan berkonsep warisan di samping menyemarakkan lagi Tahun Melawat Perak 2024,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pelajar warga Nigeria dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), Abubakar Aji, 35, yang baru lima bulan melanjutkan pengajian di negara ini meluahkan keterujaan berpeluang menyertai sukan rakyat di sawah buat kali pertama.
“Saya dapat tahu mengenai karnival ini daripada hebahan emel di kampus dan terus berasa tertarik kerana mahu melihat budaya orang Malaysia secara dekat.
“Saya hadir bersama 10 rakan lain termasuk pelajar warga Bangladesh dan Pakistan untuk menyertai perlawanan bola sepak dalam sawah dan pukul bantal.
“Seronok kerana orang tempatan melayan kami dengan sangat mesra dan baik, tak lekang dengan senyuman,” katanya.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Ahmad Shamil Mohamed, 44, yang juga anak jati Kampung Senin berkata, dia sememangnya ternanti-nanti penganjuran Karnival Sukan Bendang itu.
“Dahulu apabila balik sekolah, kita selalu mandi tali air selain menggagau ikan di sawah, namun perkara itu semakin luput ditelan zaman.
“Jadi dengan penganjuran acara sebegini, saya berasa terpanggil untuk turut serta merasa main bendang, lumpur, duduk dalam lecah serta mengenang semula memori zaman kanak-kanak itu bersama generasi baharu,” katanya.
Karnival Sukan Bendang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah serta dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Program berkenaan anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Perak serta Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Belanja.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.