comscore
Tumpuan :
Nasional

Kapit tayar kenderaan bukan tindakan dua darjat – DBKL

Penguat kuasa DBKL melakukan kapitan tayar kenderaan. FOTO hiasan. -FOTO: Ihsan DBKL

KUALA LUMPUR: Tiada istilah layanan istimewa atau dwi-standard membabitkan tindakan kapit tayar kenderaan seperti dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan di Facebook berkata, tindakan itu dijalankan di sekitar Jalan Telawi, Bangsar pada Jumaat membabitkan 13 kenderaan dikenakan tindakan kapit.

“Tindakan dilakukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan konsisten, tanpa “pertimbangan khas” untuk sesiapa pun.

“Pada hari kejadian, sejumlah 13 kenderaan dikenakan tindakan kapit roda, termasuk sebuah Perodua Bezza seperti yang dirakam oleh pemiliknya,” katanya.

Dalam hantaran sama, DBKL menjelaskan pihaknya menjalankan tindakan kapit tayar ke atas Perodua Bezza terbabit kira-kira 1.09 petang manakala pembukaan kapit dilakukan pada 1.30 petang di Jalan Telawi 4.

Menurutnya, dalam hantaran tular berkenaan pemilik Bezza terbabit mempertikaikan tindakan DBKL tidak mengapit sebuah kenderaan lain.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kenderaan lain ‘terlepas’ dalam video tersebut.

“Untuk makluman, SOP DBKL menetapkan tindakan kapit roda tidak boleh dikenakan ke atas kenderaan yang mempunyai pemandu di dalamnya.

“Justeru, petugas kami telah mengarahkan agar pemilik kenderaan yang berada di dalam kenderaan untuk mengalihkan kenderaan mereka dari lokasi berkenaan,” katanya.

DBKL menegaskan pihaknya sentiasa berpegang teguh dengan prinsip keadilan tanpa dwistandard.

Katanya, setiap tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah telus dan tanpa prejudis demi kesejahteraan warga kota tanpa prejudis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini