GEORGE TOWN: Kapasiti efektif untuk Empangan Air Itam kekal 32.4 peratus sejak 10 hari lalu, berikutan langkah yang dilaksanakan untuk mengurangkan pengeluaran air daripada empangan itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksana beberapa langkah antaranya pengambilan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk kegunaan pengguna Empangan Air Itam.
Katanya kapasiti efektif Empangan Air Itam itu cukup untuk bertahan selama 32 hari lagi.
“Pelan tindakan yang PBAPP umumkan sebelum ini nampaknya berkesan kerana kapasiti Empangan Air Itam kekal sama sejak 10 hari lalu, malah kami juga sedang melaksanakan teknologi bagi memastikan semua kawasan di negeri ini mendapat bekalan air yang mencukupi.
“Pulau Pinang juga telah menulis surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan pembenihan awan dan terdapat beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum boleh dilaksanakan. Jadi ia masih dalam pertimbangan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam turun mendadak susulan cuaca panas dan pengeluaran air yang tinggi dari empangan itu.
Susulan itu, PBAPP memulakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi memastikan bekalan air kepada pengguna sentiasa mencukupi.
Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri turut memantau paras air di Sungai Muda, Kedah telah berkurangan ke paras berjaga-jaga tahap satu susulan cuaca panas kering yang melanda pada masa ini.
’’Kita dapat lihat paras di Sungai Muda telah turun sejak beberapa hari lepas namun mempunyai bekalan air dari Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam sebagai empangan strategik yang boleh menyalurkan air ke LRA Sungai Dua.
’’Namun setakat ini, kita belum sampai tahap perlu mengeluarkan air dari Empangan Mengkuang untuk disalurkan kepada pengguna dan jika perlu kita akan laksanakan,” katanya.
Beliau berkata kapasiti efektif Empangan Mengkuang ketika ini pada 89.8 peratus dan boleh bertahan selama 130 hari manakala Empangan Teluk Bahang pula mempunyai bekalan air mencukupi untuk bertahan selama 257 hari bagi menampung keperluan pengguna di kawasan tersebut.
“Kami akan terus memantau paras air di Sungai Muda dan tiga empangan di Pulau Pinang. Saya minta pengguna supaya bersama-sama berjimat menggunakan air ketika musim kemarau sekarang ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.