Tumpuan :
Nasional

Kapasiti digital perlu dinaik taraf tangani jenayah seksual kanak-kanak dalam talian – Azalina

Menurut Azalina, semua kapasiti agensi yang berkaitan mesti dikemas kini dan dinaik taraf bagi menangani peningkatan jenayah, pengantunan.- Foto fail

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan jenayah seksual serta pengantunan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua kapasiti agensi yang berkaitan mesti dikemas kini dan dinaik taraf bagi tujuan itu.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan MADANI telah bawa beberapa pindaan kepada akta berkaitan komunikasi dan bentang Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang akan dapat bantu pihak berkuasa untuk kekang jenayah jelik ini,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Pada masa sama, Azalina menzahirkan ucapan syabas dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak yang terlibat dalam Op Pedo yang berjaya menumpaskan kegiatan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan, seorang warga emas antara 13 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM) menerusi Op Pedo semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, suspek berumur 74 tahun itu dan 12 yang lain ditahan dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

Beliau berkata, dalam operasi yang bermula pada 9 malam, 18 pasukan terdiri daripada pegawai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bahagian Bantuan Teknikal (D6) dan Makmal Forensik Polis (D10) Bukit Aman dan kontinjen, serta pegawai MCMC membuat pemeriksaan ke atas 18 premis di enam negeri terbabit.

Pemeriksaan terhadap pelbagai peranti serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) milik 13 suspek telah menemukan lebih kurang 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa.

Antara peranti yang dirampas termasuk tujuh komputer, 11 telefon bimbit, sembilan router, tujuh modem serta masing-masing satu komputer riba, cakera video digital dan cakera keras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini