Tumpuan :
Nasional

Kapal OPV1 diserah kepada APMM esok

Foto Ihsan APMM

KUALA LUMPUR: Selepas tiga kali penyerahannya tertangguh, Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) dijangka diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) esok.

Majlis penyerahannya dijadual  berlangsung di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn Bhd, Taman Perindustrian Pulau Indah, Klang, Selangor, pada jam 9 pagi.

Penyerahan OPV1 milik APMM itu sebelum ini, ditangguhkan sebanyak tiga kali dengan penangguhan terbaru pada 27 November lalu.

Tarikh penyerahan itu diumumkan  Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Hamid Mohd Amin pada sidang media di Kuching, Sarawak.

Sebelum ini, penyerahan itu sepatutnya dilaksanakan pada Mac lalu namun gagal berbuat demikian disebabkan kelewatan menerima peralatan utama yang ditempah dari luar negara.

Antara peralatan utama yang ditempah adalah meriam dari Turkiye dan bot dari United Kingdom.

Kemudiannya kapal itu dijadualkan siap dan diserahkan pada Julai lalu namun sekali lagi ditunda pada November.

Penangguhan terakhir berkenaan didakwa berikutan menunggu percubaan kapal belayar di laut dan memastikan ia bersedia sepenuhnya sebelum diserahkan kepada APMM.

Hamid dilaporkan berkata, OPV1 menjalani percubaan laut selama empat hari menerusi Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 dari 28 November hingga 1 Disember lalu dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika di perairan Selat Melaka dari Pelabuhan Klang hingga Pulau Langkawi.

Beliau memberitahu penyertaan OPV1 dalam eksesais yang dilaksanakan THHE bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya sebelum diserahkan secara rasmi kepada APMM.

OPV1 dilengkapi dengan Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan berkelajuan 21 knot dan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.

OPV1 bernombor 8305 yang berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Loading...
Terkini