comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kapal MV Tung Sung berjaya diterbalikkan, pencarian 4 kru bermula esok

KUCHING: Kapal kargo MV Tung Sung yang karam di perairan Pulau Burung, Sebuyau, 19 Julai lalu berjaya diterbalikkan hari ini selepas empat hari usaha itu dilakukan oleh syarikat yang dilantik oleh pemilik kapal terbabit.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata berikutan kejayaan itu, kapal sepanjang 56 meter itu perlu ditarik ke lokasi baru.

Artikel berkaitan: Usaha terbalikkan MV Tung Sung sukar kerana ada tumpahan minyak 

Ia bagi menstabilkannya sekali gus membolehkan pencarian empat kru yang disyaki terperangkap di dalamnya dilakukan.

Operasi akan diketuai Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) Maritim (MRSC) Kuching dengan dibantu Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Zin Azman dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa pangkalan hadapan CARILAMAT di Jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Sebuyau akan dibuka semula pada jam 8 pagi esok.

“Jika ada mayat yang ditemui, ia akan dibawa ke Jeti LSS Sebuyau untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya

Dalam kejadian kira-kira 11 malam, 19 Julai lalu, kapal kargo yang dalam pelayaran dari Kuching ke Sarikei karam dan terbalik selepas dibadai ombak besar dan angin kencang.

Lapan kru berusia antara 20 hingga 52 tahun hilang dengan tiga daripadanya adalah warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Chuit.

Lima lagi adalah warga asing iaitu empat warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo manakala seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Seorang kru, Maxwell Billy Stimba, 26, yang juga anak kepada salah seorang kru yang masih hilang, terselamat kerana tidak menaiki kapal berkenaan ketika memulakan pelayaran dari Kuching.

Pada 22 Julai lalu, empat mayat dipercayai kru kapal terbabit ditemukan terapung kira-kira 15 batu nautika dari Pulau Burung.

Bagaimanapun, identiti semua empat mayat yang ditemui itu masih belum dikenalpasti berikutan kesukaran mendapatkan sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) lima warga asing.

Loading...
Terkini