SHAH ALAM: Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) mengesahkan Kapal MV KUM JIN masih terapung di kedudukan 2.1 batu nautika dari Tanjung Rhu, dekat sini, pagi tadi.
LPK dalam kenyataan hari ini berkata, kapal berkenaan tidak tenggelam seperti dilaporkan, malah tiada pencemaran berlaku di sekitar kapal terbabit.
“Petang tadi, anak kapal bersama sekumpulan jurutera dari darat menaiki semula kapal berkenaan untuk menstabilkannya dan menjalankan kerja-kerja pembaikan.
“Dua buah kapal tambahan sudah dihantar untuk membantu operasi pembaikan dan pemulihan serta bersedia jika berlaku kecemasan.
“Kapal-kapal di sekitar diberi amaran supaya menjauhi kapal bermasalah itu sementara pihak berkuasa terus memantau kerja-kerja pembaikan dan memberi bantuan jika diperlukan,” katanya.
LPK menjelaskan, MV KUM JIN, kapal kargo sepanjang 70 meter meninggalkan Pelabuhan Klang dengan muatan kargo keluli menuju Kuching pada jam 10 malam tadi.
“Sekitar jam 3 pagi tadi, kapal berkenaan yang sudah tiba di kawasan luar pelabuhan melaporkan mengalami masalah enjin dan dimasuki air, sekali gus meminta kebenaran berlabuh.
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Malaysia bertindak balas segera dengan menghantar dua kapal membantu.
“Pada jam 5 pagi, kapal itu dilaporkan tidak stabil akibat cuaca buruk dan berkemungkinan tenggelam, maka anak kapal dipindahkan dari kapal dan dibawa ke darat dengan kapal peronda Maritim Malaysia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa