comscore
Tumpuan :
Nasional

Kapal kargo ditahan, nakhoda gagal kemuka lesen

KAPAL kargo ditahan APMM selepas nakhodanya gagal menunjukkan lesen. – FOTO: Ihsan APMM

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan sebuah kapal kargo, kira-kira 2.4 batu nautika di tenggara Tanjung Po, Sabtu lalu.

Kapal berkenaan disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Ketika ditahan, nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan lesen perkapalan domestik (DSL) asal atau salinan yang diakui sah oleh Jabatan Laut Malaysia.

Pengarah Maritim Malaysia Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal kargo itu yang dalam keadaan mencurigakan dikesan oleh anggotanya yang sedang melaksanakan operasi rondaan di perairan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan penggeledahan lanjut mendapati, kapal kargo itu dikendalikan oleh 16 kru iaitu enam warga tempatan, lima warga India, dua warga Myanmar dan tiga warga Indonesia berusia antara 19 hingga 67 tahun.

“Kesemua kru kapal memiliki dokumen pengenalan diri namun nakhodanya gagal mengemukakan DSL selain turut gagal mempamerkan dokumen pertukaran nakhoda kapal di dalam Certificate of Malaysia Registery.

“Kapal kargo itu bersama kru diiringi ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes itu juga akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 (Akta 235) kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 58 Akta Kastam 1967 iaitu mengemukakan manifest kargo yang tidak tepat.

Loading...
Terkini