comscore
Tumpuan :
Nasional

Kapal kargo diapung untuk kesan 4 lagi kru 

Kapal kargo MV Tung Sung yang terbalik akan diapungkan. – Foto : APMM

KUCHING : Kapal kargo MV Tung Sung sepanjang 56 meter yang terbalik di perairan Pulau Burung, Sebuyau, selepas dibadai ombak kuat malam Rabu minggu lalu, akan diapungkan dalam usaha mencari empat lagi kru yang masih hilang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Zin Azman Md Yunus berkata, tinjauan awal sedang dilakukan untuk kerja-kerja pengapungan kapal kargo berkenaan.

Katanya, operasi itu akan dijalankan syarikat Hap Lee Shipping.

“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) empat lagi kru yang masih hilang diteruskan pada hari keenam membabitkan keluasan 249. 96 batu nautika persegi dengan jumlah keseluruhan pencarian kini merangkumi kawasan seluas 1,113.92 batu nautika persegi.

“Sehingga jam 11 pagi, tiada sebarang petunjuk baru ditemui oleh pasukan penyelamat dan tinjauan awal sedang dijalankan bagi melaksanakan kerja pengapungan kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seramai 82 pegawai dan anggota agensi penyelamat termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Coast Guard dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak terbabit dalam operasi berkenaan.

MV Tung Sung belayar dari Kuching ke Sarikei bersama lapan kru Rabu lalu.

Kapal berkenaan terbalik dibadai ombak besar dan angin kencang kira-kira jam 11 malam.

Tiga daripada kru kapal berkenaan yang berusia antara 20 hingga 52 tahun ialah warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Chuit.

Empat lagi adalah warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo manakala seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Seorang kru, Maxwell Billy Stimba, 26, yang juga anak kepada salah seorang kru, terselamat kerana tidak menaiki kapal berkenaan ketika memulakan pelayaran dari Kuching.

Sementara itu, Zin Azman berkata, identiti empat mayat yang ditemui terapung berdekatan Pulau Burung di Sebuyau, Sabtu lalu belum dikenal pasti.

Pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk membuat pengesahan kerana pengecaman mengambil masa berikutan lima daripada lapan kru yang hilang adalah warga asing.

Loading...
Terkini