comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan ditahan

FOTO : APMM

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo kerana berlabuh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 21 batu nautika barat daya Sekinchan pada jam 10.00 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V.Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan kira-kira pada jam 1.40 petang.

Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Kapal itu difahamkan dari Chittagong, Bangladesh menuju ke Singapura bersama 22 kru lelaki termasuk nakhoda berusia di antara 30 hingga 59 tahun, yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Loading...
Terkini