comscore
Tumpuan :
Nasional

Kapal karam, 10 kru diselamatkan Maritim Malaysia

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: 10 kru terselamat selepas sebuah kapal karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, Selangor awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.35 pagi itu, kesemua kru termasuk kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan berikutan berlaku kebocoran pada kapal MV KUM JIN.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Mihaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kapal karam itu melalui panggilan daripada VTMS Klang kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

Berdasarkan maklumat, kapal itu mengalami kebocoran di bahagian hadapan sebelah kiri sebuah tangki.

Walaupun cuaca buruk, Bot PERKASA 36 Maritim Malaysia segera diatur gerak ke lokasi.

Setiba di lokasi, didapati kapal berkenaan dalam keadaan tidak stabil dan kesemua kru sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan.

Anggota Maritim Malaysia katanya membantu proses pemindahan ke atas Bot PERKASA 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

Hasil pemeriksaan, kapten kapal adalah warga Indonesia berusia 53 tahun manakala kru kapal merupakan warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 19 hingga 50 tahun.

Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini