MIRI: Sebuah kapal yang masih dalam proses pembinaan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Piasau Slipways, Kuala Baram di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran yang berlaku sekitar jam 3.18 petang itu memusnahkan bahagian limbungan kokpit kapal berkenaan.
“Kita menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 3.18 petang lalu mengarahkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lutong dan Lopeng untuk ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi lapor kebakaran melibatkan bahagian Kokpit kapal yang sedang dalam proses pembinaan telah terbakar 60 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota terlibat mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.28 petang.
Bagaimanapun menurutnya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.