KOTA BHARU: Berdasarkan data Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia (2012-2016), kanser nasofarinks (kanser pangkal hidung) atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) adalah antara kelompok lima tertinggi bagi penyakit kanser di Malaysia.
Menurut Pakar Otorinolaringologi – Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Irfan Mohamad kanser nasofarinks adalah kanser yang tumbuh atau bermula di kawasan belakang hidung.
Katanya, kebanyakan pesakit lambat menyedari mereka mempunyai tanda-tanda menghidap kanser nasofarinks disebabkan kanser ini bukan mudah dilihat dengan mata kasar.
Jelas Dr Irfan, kebiasaannya pesakit mengalami simptom seperti bengkak atau benjolan di leher melebihi dua minggu dan semakin membesar, kurang pendengaran atau telinga berdengung (simptom kurang pendengaran jenis konduktif) untuk tempoh yang lama.
“Selain itu, pandangan juga menjadi kabur atau berganda (double vision), hidung berdarah, tersumbat atau mengeluarkan cecair lendir dari hidung yang bercampur darah serta air liur yang bercampur darah,” katanya.
Tambah Dr Irfan, pesakit yang mempunyai tanda-tanda ini biasanya akan dirujuk kepada pakar untuk melakukan pengesahan dengan menjalani pemeriksaan endoskopi ke dalam rongga hidung.
Dr Irfan berkata ketumbuhan atau sel kanser biasanya terletak di belakang hidung di nasofarinks (ruang belakang tekak di persimpangan antara hidung dan mulut) serta tempat berkenaan mempunyai struktur penting (tulang tengkorak, pelbagai saraf kranial, lantai otak, telinga dan mata) dan kanser mudah merebak ke kawasan ini.
Menurut beliau, bagi mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser ini, pengimejan seperti ‘computed tomography’(CT) scan akan dilakukan untuk membantu diagnosis yang lebih tepat serta kawasan yang sudah terkesan dengan perebakannya sama ada kawasan sekitar atau bahagian yang lebih jauh seperti tulang belakang, hati atau paru-paru.
“Selepas mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser, rawatan akan dimulakan ke atas pesakit dan kebanyakan pesakit yang menghidap kanser nasofarinks dirawat tanpa melibatkan pembedahan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kanser nasofarinks juga adalah antara kanser yang memiliki kadar kesembuhan yang tinggi berbanding kanser-kanser yang lain.
Beliau berkata terdapat banyak faktor risiko berlakunya kanser nasofarinks dan ia mudah dijangkiti bagi mereka yang berusia antara 40 hingga 60 tahun terutamanya kaum lelaki selain mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser atau NPC.
Katanya, selain itu, asosiasi dengan virus ‘Epstein Barr’ juga berkait rapat dengan kanser ini dan saringan virus berkenaan boleh dibuat bagi mereka yang berada dalam golongan berisiko.
“Bagaimanapun, kanser ini paling kerap berlaku dalam kalangan kaum Cina, malah terdapat juga laporan kajian yang menunjukkan trend bagi penyakit kanser ini sedikit tinggi dalam kalangan kaum Bidayuh di Sarawak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.