comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kanser merebak ke tulang, Johan Aziz kini bergantung ‘painkiller’


Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: “Hanya Tuhan sahaja tahu sakitnya”.

Demikian luahan pengasas dan juga bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz yang kini bergantung kepada ubat tahan sakit dos tinggi bagi melawan kanser yang ditanggungnya sejak 6 tahun lalu.

Ditemui Buletin TV3 Johan atau lebih dikenali sebagai Abang Jo berkata, selepas menjalani 56 kali kimoterapi serta empat pembedahan kansernya masih agresif dan kini merebak ke tulang.

Beliay memberitahu sudah tidak malu menangis di depan orang ramai ketika sakitnya menyerang.

Dia yang baharu sahaja melakukan pembedahan usus pada Ramadan lalu, baru-baru ini, turut dikejarkan ke hospital setelah mengalami sakit berlarutan.

Bagaimanapun selepas pemeriksaan. doktor memaklumkan tiada rawatan dapat dilakukan ketika ini, dan beliau dibekalkan ‘painkiller’ bagi meredakan kesakitan.

“Memang sakit sangatlah, saya tidak pernah rasa sakit macam ini, saya menghidapkan kanser sejak 6 tahun lalu tapi inilah kesakitan paling sakit yang pernah saya lalui.

“Bisa seluruh badan sampai tak dapat tidur, sebelum bergantung ubat tahan sakit saya hanya dapat tidur dalam keadaan duduk.

“Saya sepatutnya kena jalani pembedahan untuk buang sel kanser yang merebak di bahagian tulang di pusat perubatan swasta yang merawat saya. Namun doktor berkenaan menunaikan haji dan hanya akan balik Malaysia pertengahan bulan ini,”katanya.

Kongsinya lagi, doktor memaklumkan, pembedahan ke lima membuang sel kanser akan dilakukan di bahagian tulang, susulan tiada lagi cara untuk membunuh barah itu melalui kaedah kimoterapi.

Meskipun berdepan ujian berat, Abang Jo berkata dia tidak pernah sesekali berputus asa malah terharu, tidak putus-putus menerima kunjungan rakan artis yang mendoakan kesembuhannya.

“Doktor ada bagitahu sebelum ini, plan A hingga ke D sudah dilakukan menerusi kaedah kimoterapi, namun kanser itu masih ada dalam badan saya….jadi doktor kata dah tak tahu nak buat apa lagi.

“Pada Allah SWT saya berserah….saya minta orang ramai doakan saya, mana tahu dalam banyak-banyak doa, Tuhan makbulkan. Saya teringin nak kerja balik sebab dah bertahun duduk rumah tak boleh buat apa-apa.

Johan yang menaikkan kumpulan Slam mula diserang kanser usus pada 2018 diikuti kanser hati selepas itu.

Kini setiap hari,beliau perlu mengambil empat jenis ubat tahan sakit dan dua lagi ubat saraf bagi meredakan kesakitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini