KANGAR: Penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak dilihat sebagai satu senario yang mendedahkan golongan itu kepada ancaman gangguan seksual dalam talian terutama ketika melayari platform media sosial.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata gangguan seksual tidak harus dilihat daripada perbuatan secara fizikal sahaja.
Ini kerana ia turut berlaku dalam media sosial menerusi penggunaan gajet seperti telefon bimbit.
“Malah, kanak-kanak dilihat sangat berisiko berdepan dengan ancaman ini di mana berdasarkan laporan UNICEF Malaysia, pada tahun 2021, sekurang-kurangnya empat peratus daripada kanak-kanak yang berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini menggunakan internet didapati mengalami ancaman eksploitasi dan penderaan seksual yang jelas dalam talian.
“Ini termasuk diperas ugut untuk terbabit dalam aktiviti seksual, imej seksual mereka dikongsi tanpa kebenaran, atau dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual melalui janji ganjaran wang atau hadiah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM)@Advokasi Anti Gangguan Seksual Negeri Perlis di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoon Aik, di sini hari ini.
Katanya, masyarakat harus sedar akan hakikat bahawa gangguan seksual boleh terjadi di mana–mana sahaja.
“Malah, ia juga boleh berlaku dalam apa jua bentuk dan kepada mana-mana individu tanpa mengira jantina, usia, kaum ataupun agama termasuklah kepada golongan yang tidak berdaya seperti kanak-kanak.
“Sebab itulah ia (gangguan seksual) bukan hanya berlaku secara fizikal tetapi berlaku dalam talian dalam bentuk isyarat, tulisan dan visual lebih-lebih lagi kepada kaak-kanak.
“Ibu bapa perlu memantau perlakuan anak mereka kerana kita tidak mahu kanak-kanak ini menjadi mangsa dieksploitasi oleh orang yang tidak dikenali dan tidak bertanggungjawab dan sekiranya berada diganggu, segera membuat laporan kepada polis,” katanya.
Statistik yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan meningkat daripada 378 kes pada 2020 dan kepada 506 kes pada 2021.
Walau bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan pada tahun 2022 iaitu kepada 477 kes dan jumlah kes yang dilaporkan ini adalah membabitkan lelaki dan wanita.
Terdahulu, Aiman menyampaikan sepanduk Hentikan Gangguan Seksual kepada wakil syarikat perniagaan di sekitar Perlis untuk ditampalkan di premis masing-masing sebagai peringatan kepada semua pihak akan bahaya jenayah berkenaan.
Negeri Perlis menjadi destinasi ke-13 bagi program berkenaan yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti senam robik serta pameran kesedaran jenayah gangguan seksual menerusi agensi terbabit.