KAJANG: Seorang kanak-kanak perempuan dipercayai warganegara Myanmar yang memegang kad pelarian UNHCR diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di sebuah premis perniagaan runcit di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor.
Jabatan Imigren Malaysia dalam satu kenyatan yang dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, operasi itu dijalankan Unit Risik Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA bersama Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya membabitkan 11 pegawai Imigresen dan lain-lain pangkat.
Katanya, seorang wanita warga tempatan yang dipercayai majikan kepada kanak-kanak perempuan turut dipanggil untuk memberi keterangan.
“Operasi dilancarkan selepas mendapat maklumat dari orang awam. Kanak-kanak terbabit dipercayai telah dieksploitasi dan diupah bekerja sebagai jurujual barangan runcit di premis berkenaan.
“Majikan mangsa berumur 47 tahun merupakan seorang warga tempatan dan telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Kes disiasat dibawah Akta Antipemerdaganagn Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.