Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak tujuh tahun dipatuk ular

Kesan patukan ular pada kaki kanan Muhamad Amsyar Muhamad Nizam, 7 tahun

Oleh: Selwam Arjunan

KANGAR: Seorang murid tahun satu terpaksa menangguhkan hari pertama persekolahannya selepas cedera dipatuk ular berbisa sebanyak tiga kali ketika tidur di rumah neneknya di Utan Aji, di sini, Isnin lepas.

Mangsa, Muhamad Amsyar Muhamad Nizam, 7, sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ibunya, Fairuz Halim, 34 tahun, berkata mereka sekeluarga menetap di Changlun, Kedah, namun pulang ke rumah neneknya sehari sebelum hari pertama persekolahan kerana anak-anaknya bersekolah di Perlis.

“Kami sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan tangisan Amsyar yang mengadu kesakitan.

“Saya terus bangun dan capai lampu suluh, masa tu baru nampak seekor ular dekat dengan bantal Amsyar. Kami segera tangkap ular tu dan bawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Buletin TV3, di sini, petang tadi.

Pemeriksaan doktor mengesahkan Amsyar dipatuk ular berbisa di bahagian kaki kanan serta dua lagi kesan gigitan pada tangan kirinya.

Muhamad Amsyar kini menerima rawatan lanjut di Wad Kanak-Kanak, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas tiga hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU).

Menurut Fairuz, keadaan anaknya masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan.

“Sekarang dia masih bernafas menggunakan oksigen, kaki dan tangan masih bengkak serta demam. Doktor juga akan buat imbasan X-ray tambahan untuk periksa keadaan paru-parunya,” jelasnya.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan akan menziarahi Muhamad Amsyar di hospital esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini