Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Kanak-kanak Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang kritikal selepas tercekik gula-gula kenyal atau “gummy” di sekolah Selasa lepas, meninggal dunia, malam tadi.
Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, memaklumkan Fahmi menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) jam 11 malam tadi.
“Fahmi baru sahaja menghembuskan nafas terakhir jam 11 malam.
“Jenazah dijangka dibawa pulang dari HPP ke rumah neneknya di Permatang Binjai, Penaga pada malam ini.
“Pengebumian dijangka pada pagi esok,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Selasa lepas di sebuah sekolah di Sungai Dua, Mohamad Fahmi rebah dan tidak sedarkan diri di luar bilik darjah selepas dipercayai tercekik gula-gula “gummy” yang dibeli di luar sekolah.
Petugas kesihatan telah mengorek keluar gula-gula itu dan memberi bantuan pernafasan, namun masih tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya, sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan di PICU.
Pihak hospital juga mendapati terdapat sebiji lagi gula-gula itu dalam poket baju sekolah ketika merawat mangsa.
Siang tadi, bapanya, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata anak sulungnya itu berada dalam keadaan kritikal dan hanya dapat bernafas bergantung pada oksigen.