SRI AMAN : Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas kereta dinaiki empat sekeluarga terbabit kemalangan di Munggu Tapang, Bukit Begunan di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit menaiki kereta yang dipandu bapanya bersama ibu dan seorang lagi adiknya berusia enam tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 5.15 petang dan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian didapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta Perodua Alza yang terbabas akibat hilang kawalan.
“Terdapat empat orang mangsa dalam kemalangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba sampai ke lokasi kejadian.
“Pemandu kenderaan terbabit mengalami cedera ringan manakala seorang anak mangsa yang berumur tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ibu mangsa dan seorang lagi anak yang selamat di bawa ke Klinik Pantu untuk rawatan susulan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.32 petang,” katanya. – HARIAN METRO
Nasional
Kanak-kanak sembilan tahun maut dalam nahas
Loading...
Terkini