Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak, remaja Malaysia tidak aktif?

Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Hanafiah Harunarashid (tengah) merasmikan Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja

Oleh: Aslina Abu Bakar

PUTRAJAYA: Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang melaporkan status terkini mengenai penunjuk aktiviti fizikal dan kesihatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun menunjukkan pencapaian tidak memuaskan dengan gred D tolak (D-).

Kad laporan itu dilancarkan hari ini oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Active Healthy Kids Global Alliance (AHKGA) dan Sun Life Malaysia.

Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Hanafiah Harunarashid berkata pencapaian D- itu menunjukkan hanya satu daripada lima remaja Malaysia atau 19.8 peratus berusia 13 hingga 17 tahun aktif secara fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari selama lima hari atau lebih dalam seminggu.

Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Hanafiah Harunarashid (tengah) merasmikan Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja

Jelasnya, situasi itu tidak boleh dipandang enteng kerana mampu membawa masalah lain antaranya obesiti serta menyumbang penyakit tekanan darah tinggi.

“Salah satu masalah yang kita hadapi sekarang adalah disebabkan amalan gaya hidup sihat tidak diamalkan dari peringkat bawah. Kita tidak boleh menyalahkan rakyat yang tidak sihat pada usia 50 tahun ke atas sahaja sedangkan di peringkat kanak-kanak pun tidak melambangkan aktiviti yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kajian itu Malaysia menduduki tangga ke-34 berbanding tahap kecergasan kanak-kanak dan remaja daripada 57 negara lain.

Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang dihasilkan adalah merujuk data yang dikumpul daripada tinjauan kebangsaan dan laporan kerajaan dari 2016 hingga 2022.

Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Hanafiah Harunarashid (tengah) merasmikan Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja

Ia juga merujuk kepada 12 penunjuk antaranya aktiviti fizikal keseluruhan, penyertaan dalam sukan terancang dan aktiviti fizikal, permainan aktif, pengangkutan aktif, tingkah laku sedentari, sekolah, kerajaan, diet dan sebagainya.

20 peratus kajian yang turut menyumbang gred rendah termasuk tindakan remaja menggunakan kenderaan sendiri pergi dan balik sekolah selain ramai daripada mereka lebih selesa menggunakan pengangkutan awam. Gred rendah D- turut diperolehi bagi kajian diet dan pemakanan dengan hanya 23.5 peratus golongan itu mencapai hidangan harian buah dan sayur.

Ketua kumpulan penyelidik UKM, Prof Madya Mohd Razif Shahril berkata hasil kajian itu akan dibawa menyertai AHKGA Global Matrix 5.0 pada 2026.

“Kami harap melalui hebahan yang kita laksanakan ini dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa terutamanya untuk meningkatkan aktiviti fizikal anak-anak mereka dan meningkatkan gred ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Loading...
Terkini