comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak pesakit kanser tahap akhir, teringin ke Zoo Negara 

Shahrima menunjukkan foto Mohd Irfan Kamil yang menghidap penyakit kanser leukemia alymphocytic akut (ALL) tahap akhir. – Foto NST

GEORGETOWN: “Setiap hari Mohd Irfan Kamil bertanya ‘Bolehkah Abang Ngah ke Zoo Negara?’ namun saya tiada jawapan untuk itu.

“Malah dia sendiri tidak yakin dapat ke sana berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot selain perlu berkerusi roda serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan.”

Itu luahan hati Shahrima Rodzi, 40, mengenai anak keduanya, Mohd Irfan Kamil Mohd Shukor, 11, pengidap kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) tahap akhir.

Shahrima berkata, Mohd Irfan Kamil yang mesra dipanggil Abang Ngah itu disahkan doktor sudah tidak dapat dirawat selepas hampir empat tahun melawan kanser.

Katanya, pada masa ini, doktor membenarkan anak kedua daripada tiga beradik itu pulang ke rumah di Alor Setar, Kedah, selepas seminggu dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sabtu lalu, doktor mengesahkan penyakit Mohd Kamil Irfan tidak dapat dipulihkan dan dia diberi pilihan sama ada mahu terus dipantau di hospital atau dibawa pulang ke rumah.

“Kini Abang Ngah hanya mampu terbaring di atas katil dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa selain perlu makan empat jenis ubat dengan kerap setiap hari,” katanya ketika ditemui di Persiaran Karpal Singh di sini, kelmarin.

Terdahulu, Mohd Irfan Kamil disahkan mengidap kanser pada tahun 2020 selepas mengalami sakit sendi akibat terjatuh daripada basikal.

Minggu lalu, Mohd Irfan Kamil mengadu sakit badan dan Shahrima membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dirujuk ke HPP dengan dibawa menaiki ambulans.

“Tidak tertahan perasaan ini melihat Abang Ngah tidak dapat tidur seharian ketika itu sebelum dia terima rawatan di HPP.

“Saya kehilangan kata-kata, fikiran juga kosong saat doktor beritahu sudah tiada ubat yang boleh merawat penyakit kanser Abang Ngah.

“Saya tidak sanggup kehilangan Abang Ngah tetapi tidak sanggup juga melihat dia menderita menahan sakit setiap masa, kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya lagi.

Pada masa ini Shahrima dan suami, Mohd Shukor Bashah, 44, serta dua lagi anak mereka berusaha menggembirakan Mohd Irfan Kamil dengan menghabiskan masa bersama.

“Abang Ngah memang penyayang terhadap haiwan dan dia pernah memelihara kucing sebelum ini namun terpaksa dilepaskan kerana tidak mampu menjaganya selepas tahap kesihatan semakin merosot.

“Jika Abang Ngah ‘kuat’, saya akan berusaha membawanya ke Zoo Negara dan cuba penuhi impiannya,” katanya lagi.

Loading...
Terkini