Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun rentung dalam kebakaran di Kampung Pisang, Air Itam, di sini, malam tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sri Laavanya Gunaseelan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zulfahmi Sutaji berkata mangsa ditemukan dalam keadaan mengiring dan rentung sepenuhnya kira-kira 8 meter dari pintu utama rumah berkenaan.
Katanya, kanak-kanak itu dipercayai terperangkap di bilik tidur.
“Kanak-kanak itu dipercayai mengalami panik melihat asap yang tebal dan mangsa cuba lari sama ada ke bilik air atau ke jalan keluar berhampiran sebelum terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Bagaimanapun, katanya punca sebenar akan ditentukan dalam siasatan forensik.
Sementara itu, pihaknya juga menyelamatkan seorang wanita berusia 50 tahun dipercayai nenek mangsa, yang cedera di tangan dalam kebakaran itu.
Terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.19 malam.
Katanya, sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dan Jalan Perak bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat.
Mereka dibantu 50 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari Bukit Bendera, Bagan Ajam, Jalan Perak, Padang Lalang serta Air Itam.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, api didapati marak membakar tiga rumah yang berkedudukan rapat di antara satu sama lain.
“Berdasarkan maklumat awal, dipercayai seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terperangkap dalam rumah berkenaan dan api dapat dikawal pada jam 12.45 pagi.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran berikutan tiada laluan masuk bagi jentera ke lokasi selain menggunakan hos sejauh 150 meter dari jalan utama ke kawasan kejadian,” katanya lagi.
Operasi tamat pada jam 1.23 pagi.
Punca serta nilai kerugian dalam siasatan.