Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak perempuan OKU penglihatan hilang selepas keluar rumah

Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi, 12 tahun yang hilang.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SHAH ALAM: Seorang kanak- kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya kira-kira jam 9 pagi semalam di Pangsapuri Subang Perdana, Jalan Dinar F, Seksyen U3, Shah Alam.

Kehilangan Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi, 12, disedari bapanya selepas empat jam kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah.

Menurut Muhamad Alhalifi Ahmad Radzi, 42, anaknya ada memaklumkan bahawa dia ingin menghadiri majlis hari lahir rakannya.

Bagaimanapun, Dhiya yang tidak pulang sehingga lewat tengah hari menyebabkan dia bertindak mencarinya di sekitar kediaman mereka termasuk sekolah.

Bapa mangsa, Muhamad Alhalifi Ahmad Radzi, 42 tahun.

“Dia kalau keluar pagi misalnya hari sabtu sebelum Zohor saya memang dah set dengan dia dah kalau keluar hari Sabtu pagi sebelum Zohor mesti balik.

“Tapi semalam dah Zohor dia tak balik-balik. Jadi saya terpaksa turun lah cari dia keluar tanyakan pada kawan-kawan apa semua sampailah petang saya ingat lebih kurang pukul 3 ke 4.

“Dia tak cakap area mana cumanya dia beritahu saya ada majlis hari jadi kawan, itu sahaja dia tak beritahu detail lah tak beritahu lengkap rumah dia dekat mana ke, siapa kawan dia, dia tak beritahu,” katanya kepada Buletin TV3.

Dhiya juga dilaporkan keluar sehelai sepinggang hanya membawa dompet serta satu beg silang.

Menurut Muhamad Alhafifi, anak jirannya mendakwa ada ternampak kelibat Dhiya bersama seorang lelaki di sebuah pasaraya di Petaling Jaya petang semalam.

“Maklumat terbaharu saya dapat daripada penduduk di sini saya baru terima whatsapp siang tadi dia kata ada seorang anak kawan saya di blok saya ini, dia jumpa ada ternampak anak saya, macam anak saya di sebuah pasaraya di Damansara, Petaling Jaya, pukul 3.30 petang semalam dan bila saya bagi gambar anak saya ini ,anak dia tengok memang betul itulah anak saya,” katanya.

Menerusi maklumat rakan sekolah mangsa pula, beliau mendapat tahu tiada sebarang majlis hari lahir yang diadakan oleh mana-mana rakan mereka.

“Saya tanya kawan-kawannya dan tanya betul ke hari ini ada birthday sesiapa? Mereka beritahu pak cik, tiada birthday sesiapa, kami pun tidak tahu. Itu sahaja,” jelasnya.

Menurut sumber daripada rakan mangsa, anak kedua daripada lima beradik itu dikatakan ada berjumpa seorang lelaki di luar pagar sekolah ketika Sambutan Hari Kanak-Kanak pada 26 November lalu.

“Lelaki itu dikatakan datang di pagar sekolah dalam 12 tengah hari naik motosikal. Kawan dia kata, dia datang jumpa anak saya dan berborak macam tu, kawan dia kata anak saya terus keluar ikut dia,” katanya.

Justeru, Muhamad Alhalifi mengesyaki anak perempuannya mungkin mengikut lelaki sama yang difahamkan baru dikenalinya menerusi media sosial.

Laporan kehilangan mangsa juga sudah dibuat di Balai Polis Kampung Baru Subang malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Mohd Hafiz Muhammad Nor yang dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.

Beliau juga telah menggerakkan anggotanya untuk menjejaki mangsa.

Katanya, kanak-kanak ini dilihat kali terakhir memakai seluar jeans baggie dan bertudung berwarna hitam, berbaju sejuk dan berkasut sukan warna-warni.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak ini diminta segera menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Hizam Talib di talian 012-6550262.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini