KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri hilang di Kampung Botung berhampiran Kem Paradise Kota Belud, di sini, hari ini.
Kanak-kanak itu, Adira Abdullah, 9, disedari hilang dari rumahnya, kira-kira jam 6.30 pagi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.05 tengah hari.
“Berdasarkan laporan daripada ibu angkatnya, kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun sering berhalusinasi dan dipercayai hilang pagi ini.
“Pasukan bomba ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, operasi sedang dijalankan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.