
HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai cuba mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud ketika solat subuh di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, awal pagi tadi.
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di masjid terbabit tersebar di media sosial, memaparkan tingkah laku lelaki berkenaan yang memakai kopiah berwarna putih dan mendapat kecaman hebat daripada warganet.
Lelaki berkenaan memasuki ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah belakang dan mengangkatnya keluar.
Semasa kejadian, kanak-kanak itu sedang bersujud di saf belakang seorang diri menyebabkan tindakan pelaku tidak disedari jemaah wanita lain.
Menerusi sebuah lagi rakaman, mangsa yang dibawa ke satu lagi ruangan lain dalam masjid sama bergelut melawan perbuatan lelaki berkenaan yang kemudiannya melarikan diri.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes itu tempoh terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.