comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak pandu kereta: Polis telah ambil keterangan bapa 

Foto tular

PUTRAJAYA: Polis telah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan pada jam 11.30 malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan memandu kereta jenis Perodua Viva dengan membawa dua adik lelakinya berusia enam dan empat tahun untuk bersiar-siar di kawasan perumahan itu kira-kira jam 8 malam pada Ahad lepas.

“Siasatan lanjut masih diteruskan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki dan turut dinaiki dua lagi kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.

Wanita berkenaan yang mendakwa kanak-kanak terbabit sudah beberapa kali dilihat memandu kereta di kawasan itu berkata akan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata, ibu bapa remaja terbabit akan dipanggil untuk siasatan.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar lebih peka dan tidak sewenang-sewenangnya membiarkan anak-anak mereka memandu kenderaan tanpa lesen.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini