comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak pandu kereta, JPJ akan panggil ibu bapa bantu siasatan

Tangkap layar video tular

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memanggil ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis panggilan temu siasat terhadap ibu bapa terbabit bagi membantu siasatan.

“Saya dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ambil tindakan siasatan tapi di peringkat JPJ, kita juga ada siasatan sendiri.

“Kita telah keluar notis kepada ibu bapa (yang juga) pemilik kenderaan itu. Tapi kita biar PDRM selesaikan dulu siasatan, selepas itu kita akan ambil tindakan yang berkaitan dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing (Ops PeWA), di sini hari ini.

Semalam, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof hari ini dilaporkan berkata, polis telah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, menurut Aedy, kompaun akan dikenakan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana membenarkan anak mereka memandu kenderaan tanpa lesen, selain diberikan advokasi.

“Saya nasihatkan semua ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak menggunakan kenderaan, tidak memandu, menunggang kenderaan di atas jalan raya tanpa mempunyai lesen yang sah.

“Ini adalah peranan dan tanggungjawab ibu bapa sebab kita tidak tahu anak-anak kadang-kadang ada kemahiran membawa kenderaan tapi sebenarnya tidak layak, tidak boleh memandu.

“Jadi kita nasihat, peranan dan tanggungjawab ibu bapa sangat penting dalam memberi teguran kepada anak-anak dan tidak membenarkan anak-anak bawa kenderaan tanpa lesen,” katanya.

Loading...
Terkini