KUALA LUMPUR: Sebuah taska di Shah Alam, Selangor, yang terlibat dengan kes penderaan seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun didapati beroperasi tidak mengikut peraturan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, pemeriksaan mendapati premis itu didaftarkan sebagai tadika dan tiada kebenaran untuk beroperasi sebagai taska.
“JKM telah mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika itu kerana kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.
“Pihak JKM juga telah meminta pengusaha tadika itu untuk hadir ke pejabat JKM Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat susulan berkaitan kes ini,” menurut kenyataan itu.
Kes juga dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan dan telah menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Beliau berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa pada 11.18 pagi, 16 Januari lalu, yang memaklumkan bahawa suaminya menemukan kesan kemerahan di belakang badan serta bawah mata kanan mangsa.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.