comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak meninggal dunia ketika cari lokan

Anggota bomba memberi bantuan CPR kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital. FOTO: Ihsan Bomba

HULU SELANGOR: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam Taman Tasik Teratai, Serendah di sini, ketika mencari lokan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata mangsa berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia di Zon Merah Hospital Selayang jam 8.55 malam tadi.

Beliau berkata, terdahulu polis menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.04 petang.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam tasik itu, manakala beberapa rakannya keluar meminta bantuan daripada orang awam di kawasan sekitar.

“Pada jam 6.52 petang, kanak-kanak lelaki itu berjaya diselamatkan. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu yang kemudian tiba memberi pertolongan awal kepada mangsa kerana masih ada denyutan nadi,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, mangsa dibawa ke Hospital Selayang dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira satu jam kemudian.

“Orang ramai yang mahu menjalankan aktiviti di dalam kawasan ini perlu peka terhadap keselamatan anak-anak dan anggota keluarga lain.

“Ia termasuk pusat rekreasi terutama pada musim hujan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini