GOMBAK: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas dipercayai tertusuk besi ampaian pada leher ketika bermain di rumah keluarganya di apartment dekat Batu Caves, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa yang berusia lima tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Kejadian 2.30 petang itu disedari ibu mangsa 40 tahun, selepas dimaklumkan oleh seorang anaknya yang melihat mangsa terbaring berlumuran darah.
Kata Hussein, siasatan mendapati mangsa bermain dengan besi ampaian di ruang dalam rumah.
“Semasa bermain, mangsa tertusuk besi ampaian di bahagian leher.
“Mangsa dibawa ke klinik berhampiran dan kemudian dihantar ke HTA, tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.