KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun parah dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari semasa mangsa berbasikal di Kuang, Selangor, 14 November lalu.
Menurut laporan China Press, mangsa disahkan mengalami ‘mati otak’ oleh doktor semalam, dan kini bergantung kepada bantuan peralatan sokongan hayat.
Dalam hantaran di Facebook oleh Persatuan Murid-Murid Tua SJKC Kuang, keluarga dan sekolah mangsa merayu supaya orang ramai membantu mengenal pasti pemandu yang bertanggungjawab.
Kejadian berlaku jam 5 petang berhampiran gelanggang bola keranjang sekolah berkenaan.
Sejurus kemalangan, mangsa memberitahu keluarganya bahawa sebuah kereta yang dipandu laju melanggarnya dan melarikan diri dari lokasi.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital oleh datuknya dan menjalani pembedahan kecemasan selepas doktor mendiagnosis terdapat pendarahan pada otaknya.
Ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Song, menggesa orang ramai membantu sekiranya memiliki rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu mengesan pelaku.
“Meninggalkan tempat kejadian selepas melanggar seorang kanak-kanak adalah sangat tidak bertanggungjawab. Kita mesti mencari pemandu terbabit.
“Kami merayu sesiapa yang melalui kawasan itu antara jam 5.30 petang hingga jam 6.30 petang pada hari kejadian, untuk memeriksa rakaman dashcam mereka jika terdapat sebarang bukti kejadian itu,” katanya.
Keluarga mangsa sudah menerima beberapa rakaman kamera papan pemuka yang dipercayai merakam insiden itu dan menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.