Nasional

Kanak-kanak lemas ketika mandi di Pantai Kandis

Foto hiasan

BACHOK: Seorang kanak-kanak ditemukan lemas selepas dipercayai mandi manda dalam kejadian di Pantai Kandis, petang tadi.

Mayat mangsa, Ahmad Ammar Rafaeil Ahmad Ridtauden, 8 tahun, ditemukan pada jam 7.25 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian jam 6 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat lagi rakan dipercayai mandi di pantai berkenaan sebelum mangsa lemas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, KUP Yusri Mat Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai lapan pegawai dan anggota serta satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) BBP Bachok.

Katanya, mangsa dipercayai lemas selepas dibawa arus deras ketika mandi bersama empat lagi rakan.

“Rakan yang lain berjaya menyelamatkan diri, mayat mangsa ditemui satu kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini