
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila sebahagian badannya tersangkut di dalam tempayan ketika mandi dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Raya Barat dekat Klang, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan segera ke lokasi sebaik menerima panggilan dan mendapati mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun.
“Siasatan mendapati, ibu mangsa menyedari keadaan anaknya itu sebaik mendengar anaknya menjerit meminta tolong dari dalam bilik air.
“Berdasarkan maklumat, kanak-kanak tersangkut di dalam tenpayan selepas duduk dalam posisi mencangkung,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 7 minit mengeluarkan kanak-kanak itu dari tempayan berkenaan.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba bertugas sudah diserahkan kepada keluarga dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.