Oleh: Zahir Senapiah.
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki hilang dipercayai dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang, di Bandar Baru Uda, dekat sini, petang tadi.
Mangsa yang berumur 10 tahun dilaporkan dihanyutkan arus deras selepas disyaki tergelincir ketika bermain di longkang berkenaan sewaktu cuaca hujan.
Menurut kenyataan pusat gerakan operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 3.37 petang tadi.
Katanya, sebuah jentera dari balai bomba Larkin bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan, diketuai Pegawai bomba kanan satu, Nordatul Badrol Abd Rahman.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa disyaki sedang bermain bersama rakannya di tepi longkang besar pada kedalaman 4 meter dan 7 meter lebar dengan paras air sedalam 2.6 meter ketika cuaca hujan,” ujarnya.
Berikutan itu anggota bomba melancarkan usaha mencari mangsa melalui kaedah “surface”, namun masih gagal menemui mangsa.
Gerakan mencari masih giat dijalankan.
Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.