Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat di Jalan Kundang, dekat sini, petang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 petang ketika mangsa cuba mengambil selipar yang dihanyutkan arus dalam longkang berkenaan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.28 petang.
Sembilan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Kota Tinggi, diketuai Pegawai Kanan Bomba Shawaluddin Ami Nordin, dikejarkan ke lokasi sejurus menerima laporan.
“Operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” ujar kenyataan itu.
Turut berada di lokasi kejadian ialah Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman.
Berita lanjut menyusul.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.