BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika bersiar-siar dengan keluarga di Pantai Kandis, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Naufal Arsyad Muhammad Aiman Hafiz masih belum ditemui sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian jam 7 malam tadi.
Katanya, maklumat awal diterima mangsa dari Kampung Cabang Tiga Pohon Nenasi, Beris Lalang ke pantai berkenaan bersama ibu dan beberapa ahli keluarga lain.
“Ibu mangsa memberitahu dia dan mangsa bersama dua lagi anaknya serta dua jiran ke pantai berkenaan sebelum kejadian berlaku.
“Tiba-tiba mangsa hilang dan disyaki dihanyutkan ombak,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Mohamad Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Lalang itu sudah digerakkan.
Katanya, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga sudah diaktifkan dengan kekuatan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain agensi sejak jam 8.15 malam.