TAIPING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan mati di sebuah rumah di Assam Kumbang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu susulan satu panggilan kecemasan pada kira-kira jam 11 pagi tadi.
Artikel berkaitan: Akhirnya mayat adik Muhammad Faris ditemui
Sepasukan anggota polis dan sebuah ambulan dari Hospital Taiping segera dikejarkan ke tempat kejadian dan mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
“Pasukan Forensik Polis (D10) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut ke lokasi untuk melakukan siasatan,” katanya.
Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Taiping untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Menurut Razlam, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan.